Monday, July 27, 2009

Sejarah Pembinaan Madrasah TAHFIZ AL QURAN Tarbiyah Islamiyah

MADRASAH TAHFIZ AL QURAN DARUL TARBIYAH AL ISLAMIYAH SUNGAI PULAI, MUAR

1. PENGENALAN SEPINTAS LALU.

Madrasah Tahfiz alQuran ini telah beroperasi selama lebih kurang lima belas tahun di atas sebidang tanah seluas empat ekar beralamat SPB 3-1 Kg Sg Pulai 84,150 Parit Jawa Muar Johor. Gerakkerja, perancangan pembangunan dan pengumpulan dana untuk pembinaan Madrasah Tahfiz dipelopori oleh Almarhum suami saya Ustaz Hj Mohd Tahir bin Daeng Mengati, saya isterinya Puan Hajah Sakinah binti Abdul Hamid dan sahabat-sahabat Al Marhum (AJK sukarela) pada tahun 1991. Hasil dari kutipan awal wang kutipan derma dan sumbangan orang ramai maka tanah yang seluas empat ekar telah di beli pada tahun 1993 dari Puan Bechik dengan harga RM42,000.00 (Empat puloh dua ribu ringgit). Setelah urusan pembayaran tanah selesai AJK Madrasah meneruskan kempen mengumpul dana untuk membina bangunan utama Madrasah pula.

Generasi awal ini bekerja keras dan merancang Projek Pembinaan Madrasah demi cintanya kepada pemantapan dan penghayatan AlQuran yang berterusan dikalangan generasi akan datang. Tapak madrasah ini diharapkan juga dapat menjadi wadah dan menjadi salah satu cabang medan dakwah melalui pendidikan. Apabila Almarhum Ustaz Hj Mohd. Tahir meninggal dunia pada tahun 1994, saya bertekad meneruskan usaha murni suami saya dengan menerajui projek kempen ‘mengumpul dana bangunan’ bersama-sama dengan AJK yang lain.

Pentadbiran madrasah ini dibuat melalui sebuah Jawatankuasa Madrasah (sukarelawan) yang dibentuk untuk mentadbir perjalanan dan halatuju madrasah. Jawatankuasa ini terdiri dari Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, AJK kecil, Mudir dan tenaga pengajar yang merupakan para ustaz ‘Huffaz’ (Penghafaz Al Quran) yang berkalibar.

Jumlah pelajar terkini telah melebihi 70 orang. Mereka di kendalikan oleh 4 orang Ustaz yang hafaz Al Quran, seorang tukang masak dan seorang pembantu am. Jumlah pelajar ini amat besar berbanding dengan kemampuan prasarana yang ada. Kesempitan ruang sebegini tidak dapat memberikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar-pelajar yang berumur seawal 6 tahun hingga awal 20 an.

Setakat ini proses pembangunan madrasah ini hanya menggunakan wang, barangan dan tenaga hasil dari sumbangan wakaf orang ramai sepenuhnya tanpa bantuan dari kerajaan. Oleh yang demikian perancangan pembangunan prasarana madrasah tidak dibuat sekali gus atau serentak kerana melalui beberapa fasa. Fasa fasa pembinan dan pembangunan bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan madrasah yanbg diterima dari sumbangan orang ramai.

Seringkali perancangan tidak menepati jadual yang dirancang kerana kekurangan kewangan yang meruncing. Sehubungan dengan itu pihak pentadbiran sentiasa mengalu-alukan setiap sumbangan berupa wang, harta wakaf, barangan, tenaga dan kepakaran demi membantu melancarkan pembinaaan dan perjalanan madrasah.

Matlamat Madrasah ialah untuk melahirkan Generasi AlQuran yang memainkan peranan dan menjalankan kerja-kerja dakwah yang berterusan sebagai penyambung usaha dakwah Rasulullah SAW.

Setakat ini lepasan dan pelajar Tahfiz madrasah ini telah menjadi imam untuk Solat Tarawikh di Masjid berhampiran, Daerah Muar dan Batu Pahat sepanjang bulan Ramadhan Al Mubarak. Oleh itu penimbaan pengalaman adalah satu juzuk terpenting dalam sesebuah Madrasah Tahfiz dimana pembelajaran dan pengamalan praktikal dapat diterapkan dan direalisasikan oleh pelajar-pelajar apabila berdepan dan berperanan dalam masyarakat.
Dalam pada itu ramai juga lepasan pelajar madrasah ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS tempatan dan luar negeri. Adalah diharapkan usaha ini dapat diteruskan supaya pusaka peninggalan Rasulullah SAW ini tidak hilang dan dapat difahami dan dihayati sebagai bekal hidup dunia dan akhirat.....

2 comments: